Monday, December 29, 2008

sampai bila kita mahu dipijak??

Israel terus serang Gaza: 10 penduduk Palestin maut

GAZA: Pesawat pejuang Israel terus melancarkan serangan ke atas Tebing Gaza awal subuh tadi, dengan sekurang-kurangnya 10 warga Palestin dilaporkan maut dan 10 cedera. Pengarah Bantuan Kecemasan Gaza, Moawiya Abu Hassanein memberitahu AFP, sekurang-kurangnya 10 serangan udara dilancarkan angkatan udara Israel dengan kebanyakannya di Bandaraya Gaza dengan sasaran kawasan Hamas termasuk bangunan keselamatan dan kementerian. Pihak tentera Israel turut mengesahkan serangan baru yang masuk hari keempat itu hanya menyerang kawasan 'sasaran Hamas'.
Antara bangunan yang rosak dalam pengeboman itu ialah pejabat Perdana Menteri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar, Kementerian Kewangan dan Universiti Islam, menurut sumber Hamas yang memetik sumber di Gaza. Turut disasarkan ialah sebuah markas yang dikaitkan dengan Gerakan Fatah yang diketuai Presiden Palestin, Mahmud Abbas. Kementerian Luar yang diketuai Mahmud Zahar, salah seorang pemimpin Hamas paling berpengaruh, dilaporkan musnah sama sekali, termasuk perumahan awam berdekatan dalam serangan itu.

kesucian semakin dihina..

Polis Pahang terima laporan blog hina nabi

KUANTAN: Polis Pahang menerima laporan pertama berhubung kewujudan sebuah laman blog yang menghina keperibadian Nabi Muhammad S.A.W oleh Pergerakan Pemuda Umno Maran. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Superintendan Mohd Haris Daud, berkata laporan itu dibuat pada Sabtu lalu oleh Naib Ketua Pemuda Maran, Hairul Amin Othman di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, jam 3.45 petang. “Sabtu lalu kita ada menerima laporan pertama yang dibuat di Pahang berhubung kewujudan laman blog menghina Nabi Muhammad SAW dan kita akan siasat perkara ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Haris berkata, laporan itu dikemukakan atas dasar rasa tanggungjawab parti itu memperjuangkan agama, bangsa dan negara kerana blog itu secara terang-terangan memaparkan artikel menghina Nabi Muhammad S.A.W. Beliau berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut terhadap laporan yang dikemukakan Hairul Amin mengikut Akta Hasutan. - Bernama